Dalam mengharungi dugaan dan persepsi negatif terhadap mualaf, hanya keimanan dan kesabaran sahaja yang dapat melunturkan segala jenis kritikan terhadap mualaf atau pun keluarganya. Setelah mengambil keputusan yang begitu penting dalam hidupnya mualaf harus tabah dan pada masa yang sama menjalin hubungan yang baik terhadap kaum keluarga terutama sekali kepada kedua ibu bapa kerana pada suatu hari dan ketika Insya Allah pintu hati mereka akan terbuka terutama bila melihat mualaf itu kini hidup lebih teratur dan bahagia.
Seorang mualaf yang ingin kembali semula ke agama asalnya adalah dikira ia telah murtad. Dalam isu murtad ini, sebagai seorang Muslim, kita wajib mengkaji dan mencari jalan untuk mengajak dan memujuk semula sahabat baru ini agar kembali ke pangkuan jalan yang sebenar, yakni jalan yang diredhai oleh Allah S.W.T. Kita seharusnya memberikan masa untuk kaunseling dan memberikan apa-apa bantuan yang diperlukan oleh mualaf berkenaan supaya hatinya yang terbuka itu mendapat kekuatan untuk kembali semula menghayati ajaran Islam.
Faktor kenapa mualaf menjadi murtad
Faktor Tolakan.
Faktor tolakan kepada agama Islam bukan kerana kelemahan agama Islam itu sendiri yang Maha Sempurna dan serba serbi lengkap tetapi kerana kelemahan umat Islam dalam berdepan dengan mualaf tersebut atas faktor berlainan bangsa dan bahasa atau sememangnya cemburu dengan mualaf tersebut. Perkara ini sering berlaku kerana faktor kejahilan atau penolakkan hukum sehingga ada lelaki atau wanita yang sanggup menuduh pihak anak perempuan mereka atau suami mereka yang jujur dalam keinginan untuk membimbing pasangan mereka kearah Islam yang sebenar melalui jalan yang diharuskan oleh syara’.
Faktor Tarikan
Manakala faktor tarikan yang timbul didalam hati mereka-mereka yang menghadapi tekanan yang hebat samada dari keluarga asal yang bukan Islam mahupun dari keluarga baru yang muslim, sehingga mereka ingin hidup bebas kembali, tanpa sebarang ikatan beragama atau paling kurang ingin kembali ke pangkuan keluarga asal yang bukan beragama Islam.
Bersikap jujurlah dengan mualaf
Mutakhir ini kita melihat tidak kira persatuan atau orang perseorangan, telah mula menampakkan usaha, mengambil tahu dan memberi perhatian terhadap mualaf. Sebagai individu muslim, kita seharusnya memberi sokongan kepada usaha-usaha ini tanpa melihat siapa pembawanya.
Tidak dinafikan, ada juga persatuan berjenama mualaf mati dan sunyi sepi tanpa program dakwah. Begitu juga terdapat yayasan mualaf yang hanya tinggal nama sahaja. Tidak terlihat program atau aktiviti organisasi ini yang sepatutnya bekerja keras memberi pendidikan kepada mualaf.
Sementara, wujud pula individu-individu dan orang-perseorangan lain tanpa berdaftar terus sahaja menyuarakan keperluan mualaf, bergelanggang di tengah-tengah mereka dengan program-program yang walaupun tidak bertaqwim , namun dikenalpasti sedikit sebanyak mengisi keperluan para mualaf.
Gelaran ‘mualaf’ adalah gelaran yang bersih pada asalnya, namun demikian ramai yang telah menggunakan istilah tersebut dengan nada yang menghina. Sangat perlu bagi masyarakat sekeliling terutama mereka yang berkaitan untuk mengambil perhatian serius soal pendidikan orang-orang mualaf sehinggalah mereka faham sekali gus boleh mengaplikasikan kewajiban seorang muslim dalam hidup seharian.
Sementara, para mualaf pula, janganlah terlalu berharap dan menunggu guru-guru agama datang ke kampung kalian untuk mengajar. Berusahalah mencari guru-guru berkaitan di sekitar kalian, lebih-lebih lagi bagi anda yang sudah menjangkau 5 tahun keislaman.
Kepada mereka yang bergelanggang di tengah-tengah masyarakat mualaf pula, jujurlah dengan harapan-harapan para mualaf. Jika hanya sekadar berprogram bulanan atau mingguan sahaja belum memadai dan tidak akan menampakkan banyak perubahan pada ilmu mereka melainkan diadakan diujudkan halaqat tarbawiyah secara mingguan supaya pendidikan mereka berbentuk interaktif secara dua hala. Bagi mereka yang terlibat, seharusnya melengkapkan diri dan anggota pasukan lain dengan persediaan menghadapi soalan-soalan yang sering ditanya oleh mereka yang belum larut kedalam kehidupan seorang mukmin sejati.
p/s Seorang mualaf adlh dari kalangan saudara Islam yang baru memeluk Islam tanpa adanya secalit dosa. Mereka diibaratkan seperti bayi baru dilahirkan yang mana masih suci seperti kain putih.Oleh hal demikian, walaupun kita tidak mampu menarik seseorang itu untuk masuk Islam menerusi hidayah Allah s.w.t, maka tidak perlulah kita menjadi asbab terkeluarnya balik seseorang mualaf itu ke dalam agama asalnya.......